29 Jun 2008,10.00 pagi- YB Dr Shafie bin Abu Bakar, ADUN Bangi telah merasmikan Kelas Tahfiz al-Quran di Surau al-Muhajirin,Taman Seri Melor, Bandar Baru Bangi dan telah melancarkan Program Menghafaz Juz Amma.
Menurut Ketua Pemuda Surau al-Muhajirin, Hanapiah Khalid pada pelancaran program ini, pelajar Master dalam Pendidikan al-Quran (Qiraat) UKM, Haji Muhamad Husaini bin Haji Muhamad Mukhtar membentangkan dua kertas kerja bertajuk Kemuliaan Hamalah al-Quran dan Kaedah Menghafaz al-Quran.
Program ini menarik minat 35 orang peserta berumur antara 7 hingga 17 tahun dan 10 orang peserta dewasa.
Dalam ucapan YB Dr Shafie Abu Bakar, beliau menyatakan program ini selaras dengan pengisian Bangi Bandar Ilmu yang dilancarkan pada 22 Jun 2008.
Menurut Ketua Unit Dakwah Surau al-Muhajirin, Haji Hashim Rahim,program ini adalah salah satu daripada aktiviti di bawah Kelas Tahfiz al-Quran anjuran surau tersebut. Program ini akan berakhir pada 9 November 2008 setelah menamatkan ketiga-tiga peringkat:
1. Peringkat Pertama: Surah ad-Dhuha hingga an-Nas. (22 surah)
2. Peringkat Kedua: Surah al-Insyiqaq hingga al-Lail. (9 surah)
3. Peringkat Ketiga: Surah an-Naba’ hingga al-Mutaffifin (6 surah)
Pengerusi Surau al-Muhajirin,Haji Abdul Aziz Abu Bakar menjelaskan, program ini adalah program awalan di bawah Kelas Tahfiz al-Quran. Program berikutnya ialah:
1. Program Menghafaz Surah as-Sajdah,Yasin,ad-Dukhan,al-Mulk dan al-Insan.
2. Program Menghafaz Surah as-Saff,al-Jumuah dan al-Munafiqun.
3. Program Menghafaz Surah al-Kahfi
4. Program Menghafaz Juz 1 hingga Juz 3
YB Dr Shafie Abu Bakar meminta para peserta berlumba-lumba dalam menambahkan hafazan al-Quran di dalam dada dan mengharapkan seluruh warga Taman Seri Melor memberi sokongan kepada program yang sangat mulia ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment